Selamat kembali ke sekolah. Marilah mencapai kecemerlangan pada musim persekolahan yang baru ini.

Kemasukan Ke Kolej Matrikulasi KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan Bahagian Matrikulasi pada 1 September 1998 untuk penyeragaman semua program matrikulasi / asasi yang selama ini dikendalikan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam ( IPTA ). Pada sesi 1999 / 2000, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia telah memulakan Program Matrikulasi bagi lulusan SPM 1998. Mulai sesi 2000 / 2001, semua Program Matrikulasi kecuali UIAM dan Asasi Sains UM dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Permohonan Melalui internet ( PMI ) telah diperkenalkan mulai tahun 2003 bagi pengambilan sesi 2004 / 2005 kepada pelajar Sekolah Berasrama Penuh ( SBP ) dan Maktab Rendah Sains MARA ( MRSM ) sebagai projek perintis. Kini untuk sesi pengambilan 2009 / 2010 penggunaan PMI telah meningkat kepada 80 peratus daripada jumlah permohonan berbanding dengan permohonan secara manual ( PSM ).

KONSEP

Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan program persediaan bagi pelajar bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas di universiti awam. Tempoh pengajian program prauniversiti ini mengambil masa dua semester atau setahun bagi Program Matrikulasi Satu Tahun (PST) kecuali bagi Program Matrikulasi Dua Tahun ( PDT ) yang dijalankan untuk tempoh 4 semester. Kurikulum program ini memberi penekanan yang seimbang terhadap aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah. Penekanan sedemikian bertujuan menyediakan pelajar yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan serta mempunyai ciri kualiti diri yang terpuji khususnya daya kepemimpinan yang tinggi. Semua pelajar program ini akan mengikuti sukatan pelajaran dan kaedah penilaian yang sama. Pemilihan pelajar ke universiti hanya dibuat selepas lulus Program Matrikulasi, oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.

TEMPAT PENGAJIAN

Program Matrikulasi ini dijalankan di 12 buah kolej Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan 2 buah kolej MARA yang ditetapkan.


BIDANG PENGKHUSUSAN

Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan dua (2) jurusan dan satu (1) aliran iaitu :

a) Sains (M001)
b) Perakaunan (M003)
c) Teknikal (M007)

PAKEJ MATA PELAJARAN YANG DITAWARKAN

  • Mata Pelajaran Teras Jurusan Sains: Matematik, Kimia dan Fizik atau Biologi
  • Mata Pelajaran Teras Jurusan Perakaunan: Matematik, Perakaunan, Ekonomi dan Pengurusan Perniagaan
  • Mata Pelajaran Teras Aliran Teknikal: Matematik, Sains Kejuruteraan dan Asas Kejuruteraan atau Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PKE) / Pengajian Kejuruteraan Mekanikal (PKM) / Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA)

RANCANGAN PROGRAM

Jangka Masa Program
Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengambil masa dua (2) semester bagi Progarm Matrikulasi Satu Tahun (PST ) manakala empat (4) semester bagi Program Matrikulasi Dua Tahun ( PDT ).

Pengambilan Pelajar
Pengambilan pelajar dibuat dua (2) kali setahun, iaitu pertama pada bulan Mei. Pengambilan ini membolehkan pelajar lulusan program ini memasuki IPTA pada semester pertama tahun berikutnya. Manakala pengambilan kedua ialah pada bulan Jun bagi Program Matrikulasi Dua Tahun.

CARA PERMOHONAN

Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan dua ( 2 ) cara permohonan iaitu :

  • Permohonan Secara Manual (PSM)
  • Permohonan Melalui Internet (PMI)

Pelajar dikehendaki menggunakan salah satu cara di atas kerana hanya satu permohonan sahaja yang akan diproses bagi setiap pelajar. (Jika pelajar mengemukakan lebih daripada satu permohonan, Bahagian Matrikulasi mengguna pakai permohonan melalui internet sahaja).

TARIKH TUTUP

Tarikh tutup ialah pada 10 Oktober 2009.

Permohonan calon yang tidak layak / maklumat tidak tepat / tidak lengkap dan lewat daripada tarikh tutup tidak akan diproses.

Sila klik sini untuk maklumat lanjut.

Tiada ulasan: