Selamat kembali ke sekolah. Marilah mencapai kecemerlangan pada musim persekolahan yang baru ini.

Menuju kejayaan..

Setiap manusia pasti ingin berjaya. Kejayaan itu pula pelbagai jnis dan rupanya. Kejayaan dapat menimbulkan rasa kepuasan kepada kita. Kerana itulah kita selalu bersedia untuk melakukan apa saja untuk mencapai kejayaan. Namun, sebagai orang Islam dan orang yang berakhlak, kita perlulah mengejar kejayaan itu dengan cara yang bersih dan betul. Kita tidak patut menuju kejayaan melalui jalan-jalan yang salah dan kotor. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Sebahagian dari kita rela mengejar kejayaan dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang. Malah kekadang jalan-jalan salah itu belum tentu menjanjikan kejayaan. Sebagai contoh, dalam mengejar pangkat yang lebih tinggi, ada yang sanggup memberikan rasuah dan menggunakan bomoh. Bagi pelajar pula, ada yang membawa 'toyol' dalam peperiksaan atau terus meniru jawapan calon lain semasa peperiksaan sedangkan tidak dapat dipastikan samada orang yang ditiru itu mempunyai jawapan yang tepat atau tidak.

Lebih luas lagi, wujud kes semasa yang sangat memalukan Umat Islam sedang berlaku di Rwanda dan Mesir. Mufti Mesir, Mufti Ali Gomaa membenarkan pemain bola sepak Mesir untuk tidak berpuasa pada 6 September ini (esok) ketika Mesir berhadapan dengan Rwanda dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia. Sungguh menyedihkan kerana mereka sanggup membelakangkan agama demi mencapai matlamat kelayakan ke Piala Dunia. Perkara sebegini tidak patut berlaku. Jika pun mereka berjaya nanti, kejayaan itu sangat busuk kerana dicapai melalui jalan yang salah. (Lihat: Berita Harian, 5 September 2009)

Kepada para pelajar sekalian, terutamnya kepada yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM, berusahalah dengan bersungguh-sungguh melalui jalan-jalan yang diredhai oleh ALLAH. Jangan kita membelakangkan agama semata-mata untuk mencapai kejayaan kecil kita ini. Ingatlah firman ALLAH dalam al-Quran yang bermaksud:

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 153)

Kami doakan agar anda semua mencapai kejayaan yang gemilang dalam peperiksaan nanti. Teruskan berusaha dan berdoa. Kejayaan pasti tiba. InsyaALLAH.

Tiada ulasan: