Selamat kembali ke sekolah. Marilah mencapai kecemerlangan pada musim persekolahan yang baru ini.

Latihan punca SJKC cemerlang

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Latihan yang berganda menjadi antara faktor murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) lebih cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata, faktor itu dilihat amat jelas berbeza di antara murid di SJKC dengan Sekolah Kebangsaan.

"Kalau murid di Sekolah Kebangsaan diberi 10 bentuk latihan, murid di SJKC akan membuat kira-kira 30 latihan dalam mata pelajaran itu.

"Itu menjadi antara punca mengapa murid di sekolah jenis itu boleh mencapai tahap kecemerlangan yang baik dalam dua mata pelajaran itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hashim berkata, membuat latihan berganda seharusnya dijadikan sistem pembelajaran di semua sekolah.

"Murid di SJKC yang cemerlang dalam dua mata pelajaran ini juga dilihat mempunyai disiplin baik terhadap pelajaran mereka walaupun berada di rumah," katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan untuk mengkaji kaedah pembelajaran dan pengajaran Matematik dan Sains itu adalah langkah yang baik dan belum terlambat.

"Langkah ini amat berfaedah kepada sistem pendidikan negara kita. Sepatutnya kita melihat kepada semua bentuk kaedah pembelajaran dan pengajaran di semua jenis sekolah," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Nov 2009

Beza permohonan MRSM F4 Semenanjung dan Sabah Sarawak

Permohonan kemasukan ke MRSM Tingkatan 4 di Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak mempunyai beberapa perbezaan. Perkara ini perlu diketahui bagi mengelakkan kekeliruan pemohon. Antara perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

1. Kelayakan minimum
Pemohon Semenanjung hendaklah memperoleh keputusan minimum 6A 2B (A dalam Matematik dan Sains) dan tiada gred C,D dan E bagi subjek teras dalam PMR. Pemohon Sabah dan Sarawak pula hanya perlu memperoleh keputusan minimum 5A (A dalam Matematik dan Sains) dan baki subjek lain adalah B serta tiada gred C,D dan E bagi subjek teras dalam PMR.

2. Peperiksaan Percubaan PMR
Pemohon Semenanjung hendaklah lulus Peperiksaan Percubaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan dengan memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam Subjek Matematik dan Sains. Namun, keputusan peperiksaan percubaan PMR pemohon Sabah dan Sarawak tidak diambil kira.

3. Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM)
Pemohon Semenanjung wajib mengambil UKKM dalam bulan Disember tetapi tidak perlu bagi pemohon Sabah dan Sarawak.

4. Cara memohon
Pelajar Semenanjung menggunakan keputusan Peperiksaan Percubaan PMR untuk mendapatkan nombor pin secara percuma di mana-mana Pejabat MARA Negeri, Pejabat MARA Daerah dan MRSM dalam bulan September. Setelah itu, permohonan akan dibuat secara online.

Pelajar Sabah dan Sarawak pula menggunakan keputusan Peperiksaan PMR sebenar untuk mendapatkan borang permohonan dengan bayaran RM5.00 di Pejabat MARA Negeri atau Pejabat MARA Daerah yang berdekatan bermula pada hari keputusan PMR diumumkan secara rasmi. Setelah itu, borang permohonan perlu dihantar melalui pos.

Kemasukan ke MRSM (Tingkatan 4)

SEMENANJUNG MALAYSIA

SYARAT KELAYAKAN

1. Warganegara Malaysia
2. Permohonan ini terbuka kepada pelajar:
(i) Bumiputera Tingkatan Tiga
(ii) Bukan Bumiputera Tingkatan Tiga yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan.
(iii) Pelajar yang sedang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP, SBPI) Kementerian Pelajaran dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di bawah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran tidak dibenarkan memohon.
3. Pemohon hendaklah lulus Peperiksaan Percubaan PMR di Sekolah Menengah
Kebangsaan dengan memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam Subjek Matematik dan
Sains.
4. Pemohon hendaklah memperoleh keputusan minimum 6A 2B (A dalam Matematik dan Sains) dan tiada gred C,D dan E bagi subjek teras dalam PMR.
5. Mendapat markah yang tinggi dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM)

UJIAN KECENDERUNGAN KEMASUKAN MRSM (UKKM)

1. Pemohon akan menduduki UKKM pada bulan Disember.
2. Tempat dan tarikh ujian akan dipilih oleh pemohon semasa mengisi borang permohonan
online.

CARA MEMOHON

1. Pemohon boleh mendapatkan nombor pin di semua Pejabat MARA Negeri, Pejabat MARA
Daerah dan Maktab Rendah Sains MARA dengan percuma.
2. Sila bawa salinan kad pengenalan, surat beranak serta keputusan Peperiksaan Percubaan PMR, yang disahkan benar, semasa mendapatkan nombor pin.
3. Pemohon mestilah mengisi semua maklumat yang diperlukan di dalam borang permohonan online serta memastikan borang tersebut dihantar secara online.
4. Pemohon mestilah menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat di
bawah:
(Permohonan Ke Tingkatan 4)
Pengarah,
Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah),
Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA,
Jalan Raja Laut,
50609 KUALA LUMPUR.

NOTA

1. Keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah.
2. Pemohon yang tidak menduduki UKKM tidak akan dipertimbangkan.
3. MRSM menawarkan jurusan Sains Tulen sebagai jurusan utama.



SABAH & SARAWAK

SYARAT KELAYAKAN

1. Warganegara Malaysia
2. Ibu atau Bapa warganegara Malaysia
3. Permohonan ini terbuka kepada pelajar:
(i) Bumiputera Tingkatan Tiga
(ii) Bukan Bumiputera Tingkatan Tiga yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan.
(iii) Pelajar yang sedang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP, SBPI) Kementerian Pelajaran dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di bawah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Kementerian Pelajaran tidak dibenarkan memohon.
3. Pemohon hendaklah memperoleh keputusan minimum 5A (A dalam Matematik dan Sains) dan baki subjek lain adalah B serta tiada gred C,D dan E bagi subjek teras dalam PMR.

CARA MEMOHON

1. Pemohon hendaklah datang sendiri ke PEJABAT MARA Negeri atau Daerah yang berdekatan untuk mendapatkan borang permohonan bermula pada hari keputusan PMR diumumkan secara rasmi.
2. Pemohon hendaklah membawa bersama Salinan Kad Pengenalan serta Salinan Keputusan PMR yang telah disahkan semasa membeli borang.
3. Bayaran sebanyak RM5.00 (RM : Lima Ringgit sahaja) boleh dibuat secara tunai atau dalam bentuk wang pos berpalang atas nama Majlis Amanah Rakyat (MARA).
4. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan ke alamat di bawah.
Pengarah
Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah)
Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA
21, Jalan Raja Laut
50609 Kuala Lumpur

NOTA

1. Keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah.
2. MRSM menawarkan jurusan Sains Tulen sebagai jurusan utama.

Untuk maklumat lanjut, sila klik sini.

Kemasukan ke MRSM (Tingkatan 1)

Bermula tahun 2010, MARA akan membuat pengambilan pelajar tingkatan 1 bagi mengikuti program MRSM (Agama) Ulul Albab yang akan dilaksanakan di MRSM Kota Putra dan MRSM Gemencheh. Sistem pendidikan MRSM (Agama) ini merangkumi Pengajian Al-Quran (Hafazan), Bahasa Arab dan bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Jepun selain subjek teras seperti yang sedia ada di MRSM.

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MASUK KE MRSM :

1. Warganegara Malaysia.
2. Permohonan ini terbuka kepada pelajar:
(i) Bumiputera tahun enam.
(ii) Bukan Bumiputera tahun enam yang sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Kebangsaan.
3. Pemohon hendaklah memperoleh keputusan UPSR minimum:
(i) Semenanjung Malaysia: 5A
(ii) Sabah & Sarawak: 3A 2B (A dalam Matematik dan Sains)

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MASUK KE MRSM (AGAMA) ULUL ALBAB:

1. Warganegara Malaysia.
2. Permohonan ini terbuka kepada pelajar yang bersekolah di Semenanjung Malaysia :
(i) Bumiputera tahun enam yang sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Agama Negeri atau Sekolah Rendah Agama Rakyat.
3. Pemohon hendaklah memperoleh keputusan 5A dalam UPSR.
4. Berkebolehan membaca Al-Quran dengan baik dan mempunyai minat dalam bidang agama.
5. Pemohon mestilah memilih MRSM Kota Putra atau MRSM Gemencheh sebagai pilihan pertama semasa mengisi borang permohonan secara online.
6. Pemohon ke MRSM (Agama) akan ditemuduga.

CARA MEMOHON SECARA ONLINE :

1. Pemohon boleh mendapatkan nombor pin dengan percuma di semua Pejabat MARA Negeri, Pejabat MARA Daerah atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang berdekatan pada waktu pejabat bermula pada hari keputusan UPSR 2009 diumumkan secara rasmi.
2. Pemohon hendaklah membawa salinan Surat Beranak serta salinan Keputusan UPSR 2009 yang telah disahkan semasa mendapatkan nombor pin.
3. Pemohon mestilah mengisi semua maklumat yang diperlukan di dalam borang permohonan online dan memastikan borang tersebut dihantar secara online. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web MARA di alamat : http://www.mara.gov.my
4. Pemohon mestilah menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat di bawah:
Permohonan Ke Tingkatan 1)
Pengarah,
Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah),
Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA,
21, Jalan Raja Laut,
50609 KUALA LUMPUR.

NOTA PENTING

Selain syarat kelayakan, keutamaan akan diberikan kepada calon seperti yang berikut :
(i) Bergiat aktif dalam bidang kepimpinan, sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta pasukan pakaian seragam.
(ii) Berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dari sekolah pedalaman, luar bandar atau kawasan bandar yang meliputi kawasan setinggan atau kawasan daif.



Untuk maklumat lanjut,sila klik sini.

Bekas perokok menang saman RM1b

Philip Morris anggap ganti rugi melampau

LOS ANGELES: Mahkamah di Florida mengarahkan syarikat rokok, Philip Morris USA membayar ganti rugi AS$300 juta (RM1 bilion) kepada seorang bekas perokok yang kini terpaksa bergerak dengan kerusi roda kerana paru-parunya rosak.

Juri di Mahkamah Daerah Broward kelmarin menilaikan perbelanjaan perubatan lampau dan masa depan ditanggung Cindy Naugle, sebanyak AS$56.6 juta (RM198 juta) perlu dibayar syarikat rokok itu.

Selain itu, Philip Morris juga diarah membayar ganti rugi punitif AS$244 juta (RM854 juta).

Keputusan yang dibuat itu merupakan ganti rugi paling besar pernah diarahkan mahkamah dalam kes membabitkan bekas perokok menyaman syarikat rokok.

Philip Morris akan membuat rayuan terhadap keputusan itu berikutan mereka berpendapat hakim "membuat beberapa kesilapan," kata jurucakapnya, Murray Garnick dalam satu kenyataan.

"Kami percaya ganti rugi punitif yang dikenakan terlalu tinggi dan melanggar perlembagaan dan undang-undang negeri," kata Garnick.

Naugle, 61, mula merokok pada 1968 ketika berusia 20 tahun kerana berpendapat ia membuat beliau kelihatan lebih matang sebelum menghentikan tabiat buruk itu pada 1993.

Naugle memberitahu juri bahawa beliau tidak mungkin menghisap rokok jika syarikat tembakau mendedahkan apa yang mereka ketahui iaitu rokok mengandungi nikotin, sejenis dadah yang menyebabkan ketagihan.

Kes Naugle itu adalah di antara 8,000 kes difailkan terhadap syarikat rokok selepas Mahkamah Agung Florida pada 2006 memutuskan perokok boleh menyaman syarikat rokok. - Reuters

Sumber: Berita Harian, 21 Nov 2009

p/s: saja ulang siar kat blog ni sbb bnyk sgt pelajar yg jd perokok tegar skrn nie..bdk2 nie xblajar btl2 kot masa cgu Science ajar Chapter 1 time form 3 tue..

Analisis UPSR 2009

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

Jurang perbezaan antara calon luar bandar, bandar mengecil

PUTRAJAYA: Seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran tahun ini berbanding 46,641 calon tahun lalu, meningkat 0.32 peratus.

Baki 319,336 calon memperoleh minimum gred C atau baik bagi semua mata pelajaran, manakala 3,266 lagi memperoleh gred E atau sangat lemah bagi semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pencapaian diukur berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) yang menggunakan indeks cemerlang (semua A), baik (minimum C) dan sangat lemah (semua E).

GPN adalah indeks yang digunakan bagi merumus pencapaian keseluruhan calon dalam peperiksaan serta ia dihitung berdasarkan lima gred pernyataan iaitu gred A (satu), B (dua), C (tiga) dan D (empat) dan E (lima).

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN meningkat sebanyak satu peratus tahun ini. Cemerlang (semua A) meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding 9.19 peratus tahun lalu dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian baik (minimum C) meningkat 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan 0.47 peratus, manakala pencapaian lemah (semua E) menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini, semalam.

Seramai 517,908 calon berdaftar menduduki UPSR tahun ini 8 hingga 10 September lalu. Daripada jumlah itu, 510,125 adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, manakala 7,783 adalah calon sekolah swasta.

Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan, malah jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar kini semakin berkurangan.

"Perbezaan bilangan calon bandar dan luar bandar mendapat gred A bagi semua mata pelajaran tahun ini ialah 3.64 peratus atau 14,980 calon berbanding 4.22 peratus atau 16,241 calon tahun lalu.

"Begitu juga perbezaan nilai GPN bagi murid di kawasan bandar dan luar bandar bagi tahun ini adalah lebih kecil, iaitu 0.2 berbanding 0.22 tahun lalu," katanya.

Mengenai calon istimewa, Alimuddin berkata, 1,086 calon istimewa mengambil UPSR tahun ini, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu, iaitu 664 calon.

Daripada jumlah itu, 13 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran, 11 (gred C) dan 59 (gred E).

Mengulas pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini, Alimuddin berkata, secara keseluruhan ia menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara berada di landasan yang baik.

"UPSR diadakan bertujuan mengukur tahap penguasaan murid membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M).

"Maklumat diperoleh dijadikan petunjuk sejauh mana tahap penguasaan mereka dalam mata pelajaran yang ditawarkan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah," katanya.

Dari segi mata pelajaran, Bahasa Tamil menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi, iaitu sebanyak 3.6 peratus dan Matematik yang meningkat 4.2 peratus.

Sumber: Berita Harian, 20 Nov 2009

Halatuju

HALATUJU

Pendidikan yang terbaik merupakan impian setiap orang. Namun, kita kekadang kita tidak dapat memilih jalan yang terbaik kerana kekurangan info. Oleh itu, catatan ini diharapkan dapat memberikan serba sedikit maklumat berguna untuk pembaca sebelum membuat keputusan dalam melanjutkan pelajaran. Sila klik pautan berkenaan untuk maklumat lanjut.


LEPASAN UPSRPautan
1. Sekolah Harian
2. MRSM
3. Sekolah Berasrama Penuh
4. SMK Agama
5. Sekolah Seni
6. Sekolah Sukan

LEPASAN PMR
1. Sekolah Harian
2. MRSM
3. Sekolah Berasrama Penuh
4. SMK Agama
5. Sekolah Menengah Teknik/Vokasional
6. Sekolah Sukan
7. Maktab Tentera DiRaja

LEPASAN SPM
1. KPLSPM (Ijazah)
2. Matrikulasi KPM (Foundation)
3. Asasi IPTA (Foundation)
4. Darul Quran (Foundation)
5. Kolej MARA (IB, A-Level, Matrikulasi, FoundationUniKL)
6. SMK Agama (STAM, STPM)
7. Sekolah Harian (STPM)
8. IPTA (Diploma)
9. Politeknik (Sijil, Diploma)
10. Paramedik SPA 8 (Sijil, Diploma)
11. IKBN/IKTBN (SKM 1-3, DKM 4, DLKM 5)
12. JMTI (Diploma, Diploma Lanjutan)
13. ADTEC (Diploma, Diploma Lanjutan)
14. ILP (SKM 1-3, Diploma)
15. CIAST (VTO, DLPV)
16. GMI (Diploma, Foundation)
17. KPM (Diploma, Foundation)
18. KPTM (Diploma, Ijazah)
19. KKTM (Diploma)
20. IKM (Sijil, Diploma)
21. Kolej Komuniti (Sijil, Diploma)
22. Institut Pertanian Malaysia (Sijil)
23. JPSM (Sijil)
24. Giatmara (Sijil)
25. ABM (SKM 1-3)
26. IPTS

LEPASAN STPM
1. IPTA
2. IPTS

Iklan

PERMOHONAN

  • Permohonan kemasukan ke MRSM Tingkatan 4 2010 Sabah Sarawak (Tarikh tutup: 5 Januari 2010)
  • Permohonan mengikuti Latihan Separa Perubatan KKM (Dibuka sepanjang tahun)
  • Permohonan masuk ke Tingkatan 4 di SM Teknik /Vokasional 2010 (Tarikh tutup: 04 Januari 2010)
  • Permohonan kemasukan ke IPTA Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf sesi 2010/2011 (Tarikh tutup: 31 Dis 2009)
  • Permohonan kemasukan ke CIAST sesi April 2010 (Tarikh tutup: 31 Dis 2009)
  • Permohonan kemasukan ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 15 Dis 2009)
  • Permohonan kemasukan ke Kolej Profesional MARA sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 15 Dis 2009)
  • Permohonan kemasukan ke German-Malaysia Institute Sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 15 Dis 2009)
  • Permohonan kemasukan MRSM Tingkatan 1 2010 (Tarikh tutup: 30 Nov 2009)
  • Pengambilan Pelajar Tingkatan 1 Rangcangan Khas KPM dan Yayasan Selangor 2010 (Tarikh tutup: 30 Nov 2009)
  • Permohonan mengikuti Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan 2010 (Tarikh tutup: 30 Nov 2009)
  • Permohonan kemasukan ke Kolej Komuniti sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 13 Nov 2009)
  • Permohonan kemasukan ke IKBN sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 25 Okt 2009)
  • Permohonan kemasukan MRSM Tingkatan 4 2010 Semenanjung (Tarikh tutup: 25 Okt 2009)
  • Permohonan kemasukan ILP sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 23 Okt 2009)
  • Permohonan kemasukan JMTi sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 23 Okt 2009)
  • Permohonan kemasukan ADTEC sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 23 Okt 2009)
  • Permohonan kemasukan Matrikulasi KPM 2010 (Tarikh tutup: 18 Okt 2009)
  • Permohonan kemasukan Politeknik sesi Januari 2010 (Tarikh tutup: 18 Okt 2009)
  • Permohonan ke Tingkatan 1 SBP 2010 (Tarikh tutup: 15 Okt 2009)
  • Permohonan ke Tingkatan 4 SBP 2010 (Tarikh tutup: 15 Okt 2009)
  • Permohonan kemasukan Persijilan Tahfiz JAKIM-UIAM di Darul Quran (Tarikh tutup: 10 Okt 2009)
  • Permohonan Murid Pendidikan Khas ke Tingkatan 1 2010 (Tarikh tutup: 5 Okt 2009)
  • Permohonan Murid Pendidikan Khas ke Tingkatan 4 2010 (Tarikh tutup: 5 Okt 2009)
  • Permohonan ke Tingkatan 4 Maktab Tentera Diraja 2010 (Tarikh tutup: 25 Sept 2009)
  • Permohonan kemasukan Institut Pertanian Malaysia (Tarikh tutup: 30 Mac 2009)


SEMAKAN


RAYUAN

  • Rayuan kemasukan ke Tingkatan 1 SBP


Kemaskini terbaru: 22 Januari 2010

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.

Saya tidak ‘berkuasa’ lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.

Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.

Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).

Begini tulisan beliau:

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai ‘Manusia Abad ini’ ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi’s Jeans), Howard Schultz (Starbuck’s), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo’s Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan ‘membuat apa saja’ demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian ‘Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia’ - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Januari 2009

Klasifikasi pelajar bumiputera

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi akan mengiktiraf seseorang pelajar itu bumiputera walaupun hanya salah seorang daripada ibu bapa mereka dikategorikan sebagai bumiputera.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, pihaknya akan melaksanakan peraturan baru itu pada bila-bila masa kerana Kabinet telah bersetuju dengan langkah tersebut.

Sebelum ini katanya, Perkara 161A(6)(b) berkenaan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hanya dianggap seorang bumiputera jika ibu dan bapanya adalah seorang pribumi Sarawak.

''Kita bersetuju jika salah seorang daripada ahli keluarga mereka iaitu ibu atau bapa pelajar berkenaan adalah bumiputera, maka dia juga layak diberi tempat di matrikulasi atau institusi pengajian tinggi (IPTA) yang dikhaskan untuk bumiputera.

''Pelajar tersebut akan diterima sebagai bumiputera walaupun namanya tidak menggambarkan nama seorang bumiputera," katanya pada sidang akhbar Majlis Graduasi Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA) 2009 Kali Ke-36 di sini hari ini.

Hadir sama Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Datuk Mohd. Nasir Ahmad.

Beliau mengulas kes seorang pelajar perempuan, Marina Unau yang tidak layak menyambung pelajaran ke program matrikulasi atau IPTA pada tahun ini gara-gara dikelaskan sebagai bukan bumiputera.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang yang memperoleh keputusan 9A 1B pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu itu merupakan anak kedua Unau, hasil perkongsian hidupnya bersama isteri berketurunan Cina iaitu Wong Pick Sing.

Unau mendakwa, maklum balas yang diterimanya daripada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan terdapat perbezaan status kedudukan bumiputera Sabah dan Semenanjung Malaysia jika dibandingkan kedudukan bumiputera Sarawak.

Maklum balas itu antara lain menyebut, bagi Semenanjung Malaysia jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/Orang Asli seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya dianggap seorang bumiputera.

Sebaliknya bagi Sabah, seseorang calon dianggap seorang bumiputera jika bapa calon adalah seorang Melayu beragama Islam/pribumi Sabah seperti yang ditakrifkan dalam Perkara 161A (6)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sumber: Mingguan Malaysia, 8 Nov 2009