Selamat kembali ke sekolah. Marilah mencapai kecemerlangan pada musim persekolahan yang baru ini.

Latihan punca SJKC cemerlang

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Latihan yang berganda menjadi antara faktor murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) lebih cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata, faktor itu dilihat amat jelas berbeza di antara murid di SJKC dengan Sekolah Kebangsaan.

"Kalau murid di Sekolah Kebangsaan diberi 10 bentuk latihan, murid di SJKC akan membuat kira-kira 30 latihan dalam mata pelajaran itu.

"Itu menjadi antara punca mengapa murid di sekolah jenis itu boleh mencapai tahap kecemerlangan yang baik dalam dua mata pelajaran itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hashim berkata, membuat latihan berganda seharusnya dijadikan sistem pembelajaran di semua sekolah.

"Murid di SJKC yang cemerlang dalam dua mata pelajaran ini juga dilihat mempunyai disiplin baik terhadap pelajaran mereka walaupun berada di rumah," katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan untuk mengkaji kaedah pembelajaran dan pengajaran Matematik dan Sains itu adalah langkah yang baik dan belum terlambat.

"Langkah ini amat berfaedah kepada sistem pendidikan negara kita. Sepatutnya kita melihat kepada semua bentuk kaedah pembelajaran dan pengajaran di semua jenis sekolah," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 24 Nov 2009

Tiada ulasan: