Selamat kembali ke sekolah. Marilah mencapai kecemerlangan pada musim persekolahan yang baru ini.

Laskar Pelangi Menjulang Semangat Juang

Baru-baru ini, saya sempat menonton filem Laskar Pelangi (di Youtube sebab seingat saya filem ini tidak ditayangkan di pawagam Malaysia). Filem ini diadaptasi daripada Novel Laskar Pelangi karangan Andrea Hirata. Filem ini sangat indah. Filem ini mengisahkan tentang perjalanan 10 pelajar miskin menempuh ranjau perjuangan menuntut ilmu di sebuah sekolah usang SD Muhammadiyah Gantong Belitung. Mereka dididik dengan penuh kesungguhan dan kasih sayang oleh seorang guru wanita muda Bu Muslimah.

Filem ini menunjukkan kesungguhan segelintir ibu-bapa yang percaya pendidikan bisa merubah nasib anak mereka yang bodoh dan miskin. Mereka masih bertekad menghantar anak mereka ke sekolah SD Muhammadiyah yang usang dan serba daif walaupun dikutuk oleh masyarakat kuli sekeliling yang tidak percaya mereka boleh sembuh daripada penyakit kemiskinan. Jelas sekali mereka berdebar dan gelisah menanti anak ke sepuluh untuk hadir mendaftar di hari pertama persekolahan di SD Muhammadiyah. Mereka tidak senang duduk kerana mereka faham bahawa anak-anak mereka tidak akan berpeluang mengenal huruf jika bilangan pelajar yang mendaftar pada hari itu kurang daripada sepuluh orang. Nasib mereka baik kerana kehadiran Harun menyelamatkan keadaan.

Kesungguhan Lintang juga sangat menyentuh. Pelajar ini perlu mengayuh basikalnya sejauh 80KM ulang alik dari rumah ke sekolah setiap hari. Dalam perjalanan pula, sering kali dia dihalang oleh sang buaya yang melintas jalan. Namun semua itu hanya ujian kecil baginya. Dia gagah berkayuh seawal subuh bagi memastikan dirinya tidak lewat sampai ke sekolah. Inilah bukti sebenar kecintaan Lintang terhadap ilmu. Maka tidak hairanlah jika dia merupakan pelajar paling pintar di sekolah itu.

Perwatakan Bu Muslimah juga sangat mengesankan. Beliau bermotivasi tinggi untuk mengajar anak-anak miskin Belitung. Semasa Pak Harfan mengingatkannya bahawa hanya sembilan orang pelajar yang mendaftar, dia masih bertegas untuk mengajar dan tidak sanggup hari pertamanya sebagai guru, musnah. Dia siap berlari keluar sekolah untuk melihat-lihat jika masih ada pelajar yang ingin mendaftar.

Selain itu, beliau teguh mengajar walaupun tidak pernah menerima gaji kerana keterbatasan kewangan sekolah. Beliau juga tidak pernah berkira untuk mengeluarkan biaya bagi anak didiknya. Dia telah membeli kain dan menjahit sendiri seragam sekolah untuk anak didiknya. Inilah sifat mulia yang patut dimiliki oleh setiap guru.

Pengajaran Bu Muslimah juga sangat berkesan dan memotivasikan. Dia juga bijak menyesuaikan pengajarannya dengan keadaan pelajar dan persekitarannya. Semasa pelajar SD PN Timah menggunakan mesin kira dalam subjek matematik, dia mengajar pelajarnya mengira menggunakan batang-batang lidi. Dia menerangkan tentang rasa manis buah semasa mereka makan buah di luar sekolah. Dia juga menemani pelajarnya memerhati pelangi.

"Sekolah ini adalah sekolah dimana pendidikan agama, pendidikan budi pekerti, bukan sekadar pelengkap kurikulum. Kecerdasan bukan dilihat sekadar dari nilai-nilai, dari angka-angka itu, bukan, tapi dari hati."

"Kalian harus punya keberanian, punya keinginan yang kuat dan pantang menyerah menghadapi tantangan macam apa pun."

"Jangan pernah menyerah. Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya."

"Kita semua harus punya cita-cita. Dan di sekolah inilah perjalanan itu kita mulai. Kita harus terus sekolah."

Banyak lagi pengajaran yang boleh kita timba dari filem ini. Hayatilah dan terus berjuang mengejar cita-cita.

1 ulasan:

Cikgu Bio berkata...

filem ini melakarkan keadaan sebenar dimana terdapat orang yang kurang bernasib hingga tidak mampu mencapai cita-citanya. kita yang lebih bernasib baik ini sepatutnya lebih bersyukur dan tidak mensia-siakan nikmat yang kita ada.